Featured Posts
Utusan, 7 September 2015
Oleh: Khairul Azhar Idris


SEPERKARA yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius pada masa ini ialah soal peningkatan jumlah kanak-kanak dan individu dewasa yang dikenal pasti (diagnosis) mempunyai pelbagai masalah berkaitan pembelajaran. 

Pada 2002 sahaja, seramai 14,535 kanak-kanak menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam pelbagai ka­tegori, dan jumlahnya meningkat kepada 90,000 orang pada 2012. Lazimnya, statistik ini akan terus meningkat saban tahun, sejajar dengan peningkatan kadar kelahiran dan tahap kesedaran individu dan masyarakat.

Apakah dia masalah pembelajaran ini? Secara umumnya merujuk kepada sebarang keadaan berkaitan kesukaran seseorang individu itu untuk belajar. Ia kerana tahap perkembangan dan keupayaan pemprosesan otak mereka berbeza daripada majoriti individu normal lain dalam menerima sebarang input kognitif - iaitu yang melibatkan aktiviti dan proses otak seperti pertuturan dan percakapan, pembacaan, penulisan, pengiraan, keupayaan diri dalam pengurusan kendiri dan maklumat. 

Antara masalah berkaitan pembelajaran seperti lembam, disleksia, diskalkulia, disgrafia, dispraksia dan gangguan fungsi eksekutif, yang juga dikenali sebagai masalah pembelajaran spesifik. Akta Orang Kurang Upaya 2008 menggolongkan mereka dalam kategori OKU dan berhak untuk didaftarkan sebagai OKU serta memiliki kad OKU. 

Selain masalah pembelajaran yang spesifik seperti itu, terdapat juga beberapa sindrom lain yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak pada peringkat usia perkembangan mereka seperti gangguan daya tum­puan dan hiperaktif atau ADHD, gangguan spektrum autisme, kelumpuhan fungsi sistem cerebral, sindrom Down dan Cornelia. Semua sindrom ini amat berbeza daripada masalah pem­belajaran spesifik, tetapi mereka juga boleh berkongsi simptom gangguan masalah pembelajar­an spesifik itu. 

Apa yang jelas, seseorang kanak-kanak itu berisiko mengalami masalah pem­belajaran sekiranya mereka tidak dapat mengikuti proses pembelajaran secara normal seperti kanak-kanak lain pada peringkat umur sama. 

Keadaan sama juga akan berlaku jika kanak-kanak itu tertinggal dalam proses pem­belajarannya akibat kelewatan memenuhi tahap-tahap perkembangan dan pembesaran yang normal, seperti ketinggalan dalam aspek pertuturan dan komunikasi, kemahiran dalam pergaulan sosial, kematangan intelek dan emosi, daya tumpuan dan daya ingatan serta sebagainya. Namun, mereka tetap memiliki fungsi IQ dan kepintaran setanding dengan individu normal yang lain. 

Akibatnya, timbullah pelbagai tanda gejala masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran itu seperti sukar untuk memberi tumpuan dan fokus dalam pembelajaran, menjejaskan daya ingatan, tidak memahami pelajaran yang diajarkan, hilang minat untuk belajar, kerap ponteng sekolah, dan ak­hirnya terlibat dengan pelbagai gejala sosial. 

Dalam hal ini, amatlah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk menghukum kanak-kanak tersebut sebagai pemalas dan bodoh. Mereka tidak dilahirkan untuk menjadi pemalas atau bodoh hanya kerana mereka itu bermasalah, lewat atau ter­tinggal dalam proses perkembangan dan pembesaran. 

Bukan sesuatu yang mustahil bagi kanak-kanak atau individu bermasalah seperti ini untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Mereka berupaya belajar, berpasangan dan bekerjaya. Apa yang mereka perlukan ialah sokongan semua pihak dan pendekatan yang khusus dengan kaedah strategik dalam membimbing dan mendidik mereka sehingga berjaya. 

Memandangkan kes berkaitan masalah pembelajaran ini semakin meningkat, masyarakat dan komuniti perlu berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan dan pendidikan serta peluang kemahiran dan kerjaya untuk masa depan mereka. 

Perlu diwujudkan satu pelan strategik ke arah menyeimbangkan di antara peningkatan kes dan tahap kesedaran masyarakat. Kesukaran berkaitan masalah pembelajaran dan tahap perkembangan kanak-kanak dan individu perlu diuruskan bukan sahaja di peringkat keluarga, bahkan melibatkan keputusan politik, masyarakat serta negara. 

Pertamanya, kesukaran dalam masyarakat akan terus wujud selagi pertambahan kes itu tidak disusuli dengan peningkatan tahap kesedaran menerusi pelbagai program kesedaran di samping penyediaan prasarana dan fasiliti yang mencukupi bagi golongan ini. 

Keduanya, umum mengetahui bahawa masalah pembelajaran dan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat. Oleh itu, pe­nyembuhan dan pemulihan bukanlah matlamat utama. Sebaliknya, keupayaan mereka sebagai individu yang efektif perlu dioptimumkan melalui program latihan dan kemahiran diri, yang akan membantu mereka untuk lebih mudah menyesuaikan diri, yang akhirnya akan membantu proses penyembuhan. Apa yang penting di sini ialah untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk terus hidup secara berdikari. Ini bukan mustahil kerana tahap IQ dan kepintaran intelek mereka masih lagi berfungsi secara baik. 

Ketiga, memandangkan masalah pembelajaran dan gangguan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat, gerakan bersepadu pelbagai agensi perlu diadakan secara berterusan. Empat kementerian utama, iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu berganding bahu selaku pihak yang terbabit secara langsung dengan kelompok individu bermasalah pembelajar­an dan gangguan pembesaran ini. 

Memang benar telah banyak urusan kebajikan dan fasiliti berkaitan untuk kebaikan dan kemudahan mereka. Namun banyak juga isu dan persoalan terkini yang perlu diselesaikan. Umpamanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memperluaskan lagi skop keutamaan penjagaan OKU, bukan sekadar mengeluarkan kad OKU atau mewujudkan satu pangkalan data bagi mengumpul bilangan kes. Sebaliknya optimumkan data tersebut untuk memantau kemajuan mereka dan menyemak pelaksanaan perancangan pendidikan individu dan kerjaya golongan itu sepanjang hayat. 

JKM juga boleh bekerjasama dengan agensi pencari pekerjaan yang sanggup untuk menerima golongan ini sebagai pekerja, sesuai dengan keupayaan masing-masing, setelah mereka tamat sesi pengajian, bagi mengelakkan golongan ini daripada terus terpinggir. 

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Latihan ke tandas adalah proses biasa yang dilalui oleh kanak-kanak. Kesediaan untuk ke tandas tidak berlaku secara automatik selari dengan peningkatan usia kanak-kanak tersebut. Permulaan untuk ke tandas bergantung kepada faktor fizikal dan emosi seorang kanak-kanak itu. 

Apa itu latihan ke tandas? 

Latihan ke tandas merupakan salah satu aktiviti harian yang asas yang perlu dilalui oleh semua kanak-kanak bagi menggalakkan keberdikariaan. Latihan ke tandas juga membantu kanak-kanak untuk belajar supaya sentiasa berada di dalam keadaan kering dan bersih. 

Kepentingan Latihan ke Tandas kepada Kanak-kanak 

Ianya penting untuk perkembangan kanak-kanak supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan selesa, kering dan bersih. Adanya latihan ke tandas, pada umur 2 hingga 2½ tahun kanak-kanak boleh dilatih untuk menjaga dirinya berada dalam keadaan kering dan bersih. Manakala bagi kanak-kanak yang tiada latihan, pada umur 4 tahun sahaja mereka mungkin boleh berada dalam keadaan kering dan bersih. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang kurang upaya pula memerlukan bantuan latihan untuk menjadikan mereka lebih berdikari tanpa meminta bantuan pertolongan daripada sesiapa. Cara memberi latihan kepada kanak-kanak yang normal dengan kanak-kanak yang kurang upaya adalah berbeza kerana melatih kanak-kanak yang kurang upaya memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu mengambil masa yang panjang. Dan apa yang penting adalah sokongan dan dorongan yang tidak pernah putus untuk mereka supaya boleh lebih berdikari sendiri. 

Kenapa kanak-kanak tidak mampu untuk ke tandas? 

  1. Mempunyai perkembangan mental yang lambat dan juga menghadapi masalah fizikal. 
  2. Ibu bapa/penjaga tidak menyediakan keperluan yang diperlukan dan juga memberikan latihan kepada anak. 
  3. Kanak-kanak tidak mampu untuk mengawal pundi kencing mereka. 
  4. Tidak mendengar ataupun memahami arahan yang ringkas. 



Rasional

Membolehkan murid berkeperluan khas menguasai kemahiran literasi dan numerasi serta mencapai tahap pencapaian optimum dalam 6 domain perkembangan iaitu kognitif, bahasa dan komunikasi, sosio-emosi, tingkah laku, motor halus dan motor kasar.
  1. Instrumen Literasi Membaca
  2. Instrumen Literasi Menulis
  3. Instrumen Numerasi Lisan
  4. Instrumen Numerasi Bertulis

Pendengaran

Kurang Upaya Pendengaran bermaksud tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantu pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantu pendengaran. Kurang upaya pendengaran boleh dibahagi kepada empat tahap, iaitu :-
    • Minimum 15 - < 30dB (kanak-kanak)  atau 20 - < 30dB (orang dewasa)
    • Sederhana 30 - < 60dB
    • Teruk (severe) 60 - < 90dB
    • Sangat teruk (profound) ≥ 90dB

    Penglihatan

    Kurang Upaya Penglihatan bermaksud buta kedua-dua belah mata ATAU buta di sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain lain gangguan penglihatan kekal. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:-

    • Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation.
    • Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation.
    ** Kurang daripada 3/60 ialah Counting Fingers (CF), Hand Movement(HM), Perception of Light (PL) dan No-Perception Light (NPL). Lain-lain gangguan penglihatan kekal (hanya boleh disahkan oleh Pakar Oftalmologi).

    Pertuturan

    Kurang Upaya Pertuturan bermaksud tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya. Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh. Bagi kanak-kanak mestilah berdasarkan penilaian pada umur lima tahun ke atas. Sekiranya ada kemusykilan, Pakar Otorinolaringologi hendaklah dirujuk.

    Fizikal

    Kurang Upaya Fizikal bermaksud ketidakupayaan kekal anggota badan sama ada disebabkan oleh kehilangan ATAU ketiadaan ATAU ketidakupayaan mana-mana anggota badan yang boleh menjejaskan fungsi mereka dalam melakukan aktiviti asas sepenuhnya. Aktiviti asas yang dimaksudkan ialah seperti penjagaan diri, pergerakan dan penukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau penyakit pada mana-mana sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan lain-lain yang menyebabkan ketidakfungsian. Contoh penyebab ketidakupayaan ini adalah:
    1. Limb defects (congenital/acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
    2. Spinal Cord Injury
    3. Stroke
    4. Traumatic Brain Injury
    5. Kerdil (Achondroplasia) iaitu ≤ 142cm bagi lelaki dan ≤ 138cm bagi wanita
    6. Cerebral Palsy
    Nota:
    Individu yang mengalami keadaan kekurangan (impairment) tanpa menjejaskan fungsi, contohnya kehilangan jari, mempunyai lebih jari (polydactyly) dan tidak ada atau tidak sempurna cuping telinga tidak dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran.

    Masalah Pembelajaran

    Masalah Pembelajaran bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah Lewat Perkembangan Global, Sindrom Down dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti autisme (autistic spectrum disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti (dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia).

    Mental

    Kurang Upaya Mental merujuk kepada keadaan penyakit mental yang teruk menyebabkan seseorang itu tidak berupaya berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.

    Di antara jenis-jenis penyakit mental tersebut ialah Organic Mental Disorder yang serius dan kronik, Skizofrenia, Paranoid, Mood Disorder (depression, bipolar) dan other Psychotic Disorder seperti Schizoaffective Disorder dan Persistent Delusional Disorders.
    Nota:
    1. Klien mestilah telah menjalani rawatan psikiatri sekurangkurangnya dua tahun.
    2. Pakar Psikiatri akan menentukan tahap kefungsian sosial, kognitif dan kawalan tingkah laku pesakit terjejas dengan ketara atau teruk sebelum beliau dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU.

    Pelbagai (Multiple Disabilities)

    Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities) bermaksud mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan dalam kategori I hingga VI.

    Akta OKU telah diluluskan di Parlimen ( Dewan Negara ) pada 24 Disember 2007 dan telah diwartakan pada 24 Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. 

    Akta OKU ini memberikan pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based. Akta ini juga membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat yang lain.

    Akta OKU ini juga memperuntukan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

    Muat turun: Bahasa Melayu
    Proses pendaftaran OKU adalah seperti berikut:
    1. Anda harus melengkapkan Borang Maklumat Pemohon / Penjaga
    2. Anda harus melengkapkan Borang Pengesahan Pegawai Perubatan / Penolong Pendaftar
    3. Semakan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan Dan Bahagian akan dilaksanakan
    4. Keputusan Lulus, Tolak, atau Tangguh akan diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri
    5. Kad OKU anda akan dicetak
    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di talian 03-8323 2063.
    Anda boleh memohon melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan atau Bahagian yang berhampiran bersama senarai dokumen berikut:
    1. Borang permohonan pendaftaran yang lengkap
    2. Salinan MyKad / Sijil Kelahiran / MyKad
    3. 1 keping gambar terkini bersaiz pasport
    4. Kad OKU (Kad OKU akan dikeluarkan kepada OKU yang berdaftar)
    Semakan atau pembetulan permohonan boleh dilakukan secara online di Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Sistem Pengurusan Maklumat OKU
    Anda mestilah:
    • Warganegara yang bermastautin di Malaysia
    • Telah disahkan/diperakui oleh Pegawai / Pakar Perubatan Hospital
    • Kerajaan / Pakar Psikiatri atau Pakar Perubatan / Pengamal Perubatan Swasta