Utusan, 7 September 2015
Oleh: Khairul Azhar Idris
SEPERKARA yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius pada masa
ini ialah soal peningkatan jumlah kanak-kanak dan individu dewasa yang
dikenal pasti (diagnosis) mempunyai pelbagai masalah berkaitan
pembelajaran.
Pada 2002 sahaja, seramai 14,535 kanak-kanak
menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam pelbagai kategori,
dan jumlahnya meningkat kepada 90,000 orang pada 2012. Lazimnya,
statistik ini akan terus meningkat saban tahun, sejajar dengan
peningkatan kadar kelahiran dan tahap kesedaran individu dan masyarakat.
Apakah
dia masalah pembelajaran ini? Secara umumnya merujuk kepada sebarang
keadaan berkaitan kesukaran seseorang individu itu untuk belajar. Ia
kerana tahap perkembangan dan keupayaan pemprosesan otak mereka berbeza
daripada majoriti individu normal lain dalam menerima sebarang input
kognitif - iaitu yang melibatkan aktiviti dan proses otak seperti
pertuturan dan percakapan, pembacaan, penulisan, pengiraan, keupayaan
diri dalam pengurusan kendiri dan maklumat.
Antara
masalah berkaitan pembelajaran seperti lembam, disleksia, diskalkulia,
disgrafia, dispraksia dan gangguan fungsi eksekutif, yang juga dikenali
sebagai masalah pembelajaran spesifik. Akta Orang Kurang Upaya 2008
menggolongkan mereka dalam kategori OKU dan berhak untuk didaftarkan
sebagai OKU serta memiliki kad OKU.
Selain
masalah pembelajaran yang spesifik seperti itu, terdapat juga beberapa
sindrom lain yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak pada
peringkat usia perkembangan mereka seperti gangguan daya tumpuan dan
hiperaktif atau ADHD, gangguan spektrum autisme, kelumpuhan fungsi
sistem cerebral, sindrom Down dan Cornelia. Semua sindrom ini amat
berbeza daripada masalah pembelajaran spesifik, tetapi mereka juga
boleh berkongsi simptom gangguan masalah pembelajaran spesifik itu.
Apa
yang jelas, seseorang kanak-kanak itu berisiko mengalami masalah
pembelajaran sekiranya mereka tidak dapat mengikuti proses pembelajaran
secara normal seperti kanak-kanak lain pada peringkat umur sama.
Keadaan
sama juga akan berlaku jika kanak-kanak itu tertinggal dalam proses
pembelajarannya akibat kelewatan memenuhi tahap-tahap perkembangan dan
pembesaran yang normal, seperti ketinggalan dalam aspek pertuturan dan
komunikasi, kemahiran dalam pergaulan sosial, kematangan intelek dan
emosi, daya tumpuan dan daya ingatan serta sebagainya. Namun, mereka
tetap memiliki fungsi IQ dan kepintaran setanding dengan individu normal
yang lain.
Akibatnya, timbullah pelbagai
tanda gejala masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran itu seperti
sukar untuk memberi tumpuan dan fokus dalam pembelajaran, menjejaskan
daya ingatan, tidak memahami pelajaran yang diajarkan, hilang minat
untuk belajar, kerap ponteng sekolah, dan akhirnya terlibat dengan
pelbagai gejala sosial.
Dalam hal ini,
amatlah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk menghukum kanak-kanak
tersebut sebagai pemalas dan bodoh. Mereka tidak dilahirkan untuk
menjadi pemalas atau bodoh hanya kerana mereka itu bermasalah, lewat
atau tertinggal dalam proses perkembangan dan pembesaran.
Bukan
sesuatu yang mustahil bagi kanak-kanak atau individu bermasalah seperti
ini untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Mereka
berupaya belajar, berpasangan dan bekerjaya. Apa yang mereka perlukan
ialah sokongan semua pihak dan pendekatan yang khusus dengan kaedah
strategik dalam membimbing dan mendidik mereka sehingga berjaya.
Memandangkan
kes berkaitan masalah pembelajaran ini semakin meningkat, masyarakat
dan komuniti perlu berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran terhadap
penjagaan dan pendidikan serta peluang kemahiran dan kerjaya untuk masa
depan mereka.
Perlu diwujudkan satu pelan
strategik ke arah menyeimbangkan di antara peningkatan kes dan tahap
kesedaran masyarakat. Kesukaran berkaitan masalah pembelajaran dan tahap
perkembangan kanak-kanak dan individu perlu diuruskan bukan sahaja di
peringkat keluarga, bahkan melibatkan keputusan politik, masyarakat
serta negara.
Pertamanya, kesukaran dalam
masyarakat akan terus wujud selagi pertambahan kes itu tidak disusuli
dengan peningkatan tahap kesedaran menerusi pelbagai program kesedaran
di samping penyediaan prasarana dan fasiliti yang mencukupi bagi
golongan ini.
Keduanya, umum mengetahui
bahawa masalah pembelajaran dan perkembangan ini bersifat sepanjang
hayat. Oleh itu, penyembuhan dan pemulihan bukanlah matlamat utama.
Sebaliknya, keupayaan mereka sebagai individu yang efektif perlu
dioptimumkan melalui program latihan dan kemahiran diri, yang akan
membantu mereka untuk lebih mudah menyesuaikan diri, yang akhirnya akan
membantu proses penyembuhan. Apa yang penting di sini ialah untuk
meningkatkan keupayaan mereka untuk terus hidup secara berdikari. Ini
bukan mustahil kerana tahap IQ dan kepintaran intelek mereka masih lagi
berfungsi secara baik.
Ketiga, memandangkan
masalah pembelajaran dan gangguan perkembangan ini bersifat sepanjang
hayat, gerakan bersepadu pelbagai agensi perlu diadakan secara
berterusan. Empat kementerian utama, iaitu Kementerian Kesihatan,
Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu berganding bahu selaku
pihak yang terbabit secara langsung dengan kelompok individu bermasalah
pembelajaran dan gangguan pembesaran ini.
Memang
benar telah banyak urusan kebajikan dan fasiliti berkaitan untuk
kebaikan dan kemudahan mereka. Namun banyak juga isu dan persoalan
terkini yang perlu diselesaikan. Umpamanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) perlu memperluaskan lagi skop keutamaan penjagaan OKU, bukan
sekadar mengeluarkan kad OKU atau mewujudkan satu pangkalan data bagi
mengumpul bilangan kes. Sebaliknya optimumkan data tersebut untuk
memantau kemajuan mereka dan menyemak pelaksanaan perancangan pendidikan
individu dan kerjaya golongan itu sepanjang hayat.
JKM
juga boleh bekerjasama dengan agensi pencari pekerjaan yang sanggup
untuk menerima golongan ini sebagai pekerja, sesuai dengan keupayaan
masing-masing, setelah mereka tamat sesi pengajian, bagi mengelakkan
golongan ini daripada terus terpinggir.
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
0 comments:
Post a Comment